Rahsia kumpulan nasyid laris...

View previous topic View next topic Go down

Rahsia kumpulan nasyid laris...

Post  myinteam on 2009-02-04, 16:44



SETIAP kali berbicara mengenai industri hiburan tanah air, kemelut melanda pasaran album artis sering diperkatakan. Namun, apabila melihat kejayaan diraih kebanyakan penyanyi nasyid di negara ini, apakah tempias itu tidak pernah dirasakan mereka?
Lihat saja kejayaan Raihan, Rabbani dan Hijjaz. Apa saja produk dikeluarkan mereka sama ada album nasyid, zikir, pakej umrah dan buku motivasi, semuanya mendapat perhatian masyarakat hingga nama kumpulan masing-masing cukup dikenali ramai.

Apapun, selain tiga kumpulan utama ini, Inteam juga tidak terkecuali.

Siapa sangka, dalam tempoh lima tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian nasyid, mereka berjaya menubuhkan syarikat rakaman milik sendiri, Inteam Records Sdn Bhd (IRSB).

Justeru, pertemuan ketika majlis sambutan Aidiladha di pejabat IRSB di Bandar Sri Damansara, Rabu lalu, menyingkap rahsia kejayaan Inteam.

Tanpa terlalu menguar-uarkan aktiviti seni mereka, Inteam sudah maju setapak membina empayar perniagaan.

Anggota Inteam, Muhammad Hazamin Harun atau Hazamin berkata, apa yang diperoleh sekarang atas berkat usaha dan rezeki daripada Tuhan.

Malah, melihatkan kejayaan diraih kumpulan nasyid lain, Inteam bertekad mahu turut berjaya seperti mereka.

"Dalam soal ini, kami menjadikan Hijjaz idola Inteam. Kami melihat Hijjaz sangat berjaya. Mereka (Hijjaz) bukan saja sudah ada studio sendiri, bahkan perniagaan yang mantap dengan pakej umrah, resort percutian dan itu memangkin semangat kami.

"Walaupun masih jauh lagi untuk 'mengejar' mereka, namun Inteam puas dengan pencapaian sedia ada. Setakat ini, boleh dikatakan produk keluaran Inteam membabitkan album nasyid dan zikir doa memang mendapat sambutan menggalakkan," katanya.

Menurut Hazamin, memandangkan Inteam juga sudah memiliki studio dan pejabat operasi sendiri, maka mereka (Inteam) mensasarkan setiap bulan dapat mengeluarkan produk di pasaran.

Katanya untuk nasyid, setiap tiga bulan mesti ada album baru.

Ditanya pula mengenai pulangan modal diraih berikutan pengeluaran beberapa produk sekali gus, seorang lagi anggota Inteam, Abdul Rahim Osman berkata keuntungannya dapat dilihat dalam jangka masa panjang.

Akuinya, zikir Al-Quran tidak lapuk.

"Justeru, sampai bila-bila pun album membabitkan zikir, doa dan ayat Al-Quran sentiasa diterima masyarakat. Jadi, tiada sebab Inteam hendak risau mengenai pulangan kerana ia tidak pernah berakhir. Oleh itu, kami harus sentiasa mengeluarkannya.

"Sebagai contoh, album Kembara Sufi daripada Ustaz Akil Hayy yang sudah mencatat jualan Platinum Berkembar sebanyak 40,000 unit. Hingga kini, album itu masih terjual lagi di pasaran dan jelas menunjukkan permintaan tidak akan habis.

"Oleh itu, selaku penerbit dan pengedar, ini satu kejayaan Inteam. Begitu juga dengan album bekas anggota Raihan, Nazrey Johani dan Ustaz Asri Ibrahim dari Rabbani. Boleh dikatakan jualan memang begitu memberangsangkan melebihi 10,000 unit," katanya.

Menyentuh perancangan baru Inteam, anggotanya, Mohd Syaril Abdul Khalid berkata, kumpulan itu dalam proses akhir menyiapkan album baru yang turut menggandingkan Inteam dengan dua bekas ahlinya iaitu Suhaimi Saad (suami Ina Naim) dan Hisyam.

"Album reunion ini akan dipasarkan Mac 2009. Kami juga mengeluar dan memasarkan album Memori Nada Murni Rabbani pada bulan ini (Disember). Diikuti album Kaifiat Yassin daripada Rahim (Inteam) yang masih dalam proses.

"Jika tiada aral pada tahun 2009 juga Inteam akan memasarkan album membabitkan qari ternama Arab dengan kerjasama syarikat dari Mesir, Sotoul Kaherah. Diharap, ia akan lebih mewarnai persada industri hiburan islamik tanah air," katanya.

Mengenai perkembangan industri seni tempatan, Mohd Syaril berkata persaingan yang berlaku sekarang ini sangat sihat.

Malah, perkembangannya juga makin luas dan masyarakat sentiasa menerima irama nasyid. Ia juga menunjukkan satu kejayaan besar.

Sehubungan itu, berbicara mengenai pejabat operasi Inteam, menurut Mohd Syaril, ia dibuka sejak Mei lalu. Justeru, majlis sambutan Aidiladha itu adalah sebagai memperkenalkan pejabat baru termasuk mengukuhkan ukhwah dengan sahabat, peminat, pelanggan dan sanak saudara.

myinteam
Admin

Posts : 200
Join date : 2007-12-16
Age : 29
Location : Darul Digital Kota Bharu

View user profile http://myinteamnet.blogspot.com/

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum