MYINTEAM.NET
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

:: BERITA@MYINTEAM.NET :: MACP Julang Artis Bermutu

Go down

:: BERITA@MYINTEAM.NET :: MACP Julang Artis Bermutu Empty :: BERITA@MYINTEAM.NET :: MACP Julang Artis Bermutu

Post  myinteam 2008-04-28, 07:53

:: BERITA@MYINTEAM.NET :: MACP Julang Artis Bermutu Hafiz11


NAMANYA tidaklah sepopular artis terkenal lain, namun Hafiz Hamidun punyai misi dalam memartabatkan irama nasyid kontemporari di persada muzik tanah air.

Kemunculannya pula di celah-celah puluhan artis pop yang baru menguak nafas di persada dunia hiburan tanah air.

Tidak salah juga kalau dikatakan kehadirannya disedari peminat muzik tempatan, biarpun album pertamanya, Hafiz Hamidun diterbitkan pada Ogos tahun lalu.

Dalam diam, Hafiz bagaimanapun mampu menghasilkan satu karya yang diiktiraf kualitinya.

Bekas anggota kumpulan nasyid U.N.I.C itu muncul pemenang bagi kategori Juara Kepada Juara (JKJ) Lagu Terbaik melalui lagu Kau Yang Satu dalam Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) 2008.

Anugerah ini berlangsung di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang, Kuantan, minggu lalu.

Apa yang jelas, kemenangan Hafiz itu menunjukkan matlamat MACP dalam menonjolkan artis yang benar-benar berbakat, biarpun bukan berada di tahap tertinggi dari segi populariti.

Fakta itu diakui Hafiz. Menerusi anugerah MACP, Hafiz yang menyifatkan populariti bukan penanda aras kepada kualiti turut menggondol trofi bagi kategori JKJ Melodi Terbaik.

“Saya tahu, tak ramai yang mengenali Hafiz Hamidun. Ada juga yang tak pernah dengar lagu Kau Yang Satu.

“Namun saya bersyukur kerana karya yang saya hasilkan diiktiraf kualitinya oleh MACP bukan berdasarkan populariti saya,” ujarnya.

Beritahunya lagi, dia terkilan dengan segelintir pihak yang memandang populariti sebagai pengukur kepada kualiti.

Bangkit dari kemenangannya itu, Hafiz ternyata begitu bersemangat dalam memperjuangkan genre muzik yang dibawanya itu.

Bagi Hafiz, irama nasyid perlu diberi nafas baru yang tidak terlalu fokus kepada keagamaan.

“Nasyid mungkin membosankan bagi sesetengah peminat muzik. Dengan itu, saya cuba sampaikan nasyid dengan mood dan cara yang lebih universal,” ulasnya.

“Saya tidak terapkan elemen ketuhanan secara tegas. Lirik dan komposisi lagu pula ditulis dalam ‘bahasa’ yang mudah diterima serta senang difahami setiap orang.

“Ia untuk menjadikan irama nasyid lebih bersifat global dan tidak terlalu akademik yang memerlukan seseorang berfikir untuk memahami isi bahasanya,” katanya.

Tambah Hafiz, dia juga akan cuba menyelongkar serta meneroka elemen baru dalam menjadikan lagu-lagu ciptaannya sebagai karya yang bermutu.

“Bukan mudah untuk hasilkan sesuatu yang dapat diterima semua orang. Penerokaan terhadap melodi baru yang lebih segar tidak mudah seperti disangka.

“Segar tidak semestinya rancak, ia berkaitan sesuatu pembaharuan,” tuturnya.

Nasyid ke pasaran antarabangsa

Sehubungan itu, Hafiz merancang untuk muncul dengan album nasyid Inggeris pada tahun ini.

“Album nasyid memang sudah mendapat perhatian pelajar Malaysia di luar negara. Namun, saya tidak hanya mahu menarik perhatian pelajar Malaysia. Jadi dengan penerbitan album nasyid Inggeris, pasaran saya lebih luas.

“Bagi album antarabangsa, saya sudah siapkan lima buah lagu dan Stephen Rahman akan berduet sama. Selepas ini, saya akan akan berbincang dengan Raihan untuk bekerjasama dalam album ini kerana pengaruh mereka kuat,” ujar penuntut Diploma Seni Muzik pengkhususan vokal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini.

Biar genre nasyid masih menjadi keutamaan, ia tidak menghalang Hafiz untuk mencuba genre muzik yang lain.

Menerusi album terbaru yang bakal menemui peminat pertengahan tahun ini, dia sebaliknya memilih genre pop.

“Ini bukan album berjalur nasyid tetapi pop. Saya mahu lari daripada irama nasyid. Single pertama, Kasih Belum Termilik dalam album ini sudah dimainkan di corong radio dan menerima sambutan yang cukup memberangsangkan.

“Bukannya saya kecewa dengan nasyid tetapi saya mahu meneroka variasi muzik. Lagipun, siapa yang tidak pernah kecewa? Jadi saya ingin mencuba rezeki baru,” jelas Hafiz.

Buat masa ini, hanya enam buah lagu yang siap digubah tetapi belum dimasukkan vokal kerana Hafiz ingin menunggu sehingga tamatnya majlis Anugerah Industri Muzik 15 (AIM15) pada 3 Mei ini kerana dia turut tercalon dalam dua kategori.

Turut mempunyai perancangan untuk membikin sebuah album lagu raya, juga pada tahun ini, Hafiz juga bercita-cita mahu mencuba muzik irama Malaysia.

Membikin tiga buah album dalam masa setahun adalah satu risiko yang tidak mahu diambil penyanyi tempatan mahupun antarabangsa.

Namun, Hafiz menyangkal semua tanggapan itu. Dia yakin dengan perancangan dan kajian teliti, semua itu adalah tidak mustahil.

Menghabiskan RM8,000 untuk single Kasih Belum Termilik, Hafiz merasakan kos bukan satu isu asalkan produk yang di hasilkannya memuaskan.

Malah dia menyimpan impian untuk menjadi penulis lagu, komposer, penerbit dan penyanyi yang berjaya.

“Itu semua andaian orang. Kita boleh rancang dan kaji. Kalau tidak mengeluarkan produk, kita tidak akan mengetahui respons orang. Itu sebenarnya cabaran yang perlu dihadapi kerana saya adalah pemuzik,” tegasnya mengakhiri bicara.

Loloq berpendapatan tertinggi

Sementara, pada majlis Anugerah MACP 2008 juga menyaksikan karya Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq menerima Anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Tertinggi dan Anugerah Lagu Melayu Dengan Persembahan Terbanyak menerusi lagu Aduh Saliha.

M.Nasir, rakan baik Loloq semasa hayatnya menyifatkan kemenangan Loloq sebagai sesuatu yang tidak disangkakan.

“Saya pun tak percaya Aduh Saliha yang ditulis bersama Loloq menjadi lagu paling banyak dimainkan dan dipersembahkan sepanjang penjurian dibuat,” katanya.

Lagu ciptaan M. Nasir yang dipopularkan Mawi itu mengenepikan lagu Belaian Jiwa (dendangan Innuendo) dan turut menyingkirkan Pop Yeh Yeh nyanyian VE.

“Saya bersyukur malah bangga kerana Loloq kini berterusan menjadi satu jenama besar dalam penulisan lirik. Ia adalah hadiah yang sangat bermakna kepada Loloq,” tambah M.Nasir.

Aduh Saliha sudah hampir dua tahun berkumandang, namun populariti lagu ini tidak lapuk dan terus mendapat tempat di hati peminat.

Faktor MACP kurang meriah

Dalam pada itu, isu populariti turut membelenggu MACP 2008. Pengerusi MACP, Habsah Hassan mengakui disebabkan kurang popular dan kurang publisiti menjadikan MACP kali ini tidak diberi perhatian.

Habsah yang juga seorang komposer terkenal menegaskan senario itu berlaku kerana masyarakat kita lebih mementingkan populariti artis berbanding kualiti serta mutu lagu itu sendiri.

“Peminat muzik di Malaysia sudah lama didedahkan dengan pelbagai anugerah yang hanya berdasarkan populariti sehinggakan majlis seperti ini di pandang sepi.

“MACP yang sudah 12 kali diadakan setiap tahun pun masih ramai yang tidak menyedari kewujudan anugerah MACP ini,” ujarnya.

Tambah Habsah, penganjuran anugerah itu dibuat sebagai memberi penghargaan terhadap penulis lirik, komposer serta pihak-pihak yang berada di sebalik sebuah lagu.

“Ia diwujudkan bagi menghargai mereka yang berada di sebalik tabir seperti penulis lirik, penerbit album, komposer serta sebagainya.

“Anugerah yang diwujudkan untuk menghargai artis sudah begitu banyak di Malaysia sehinggakan tidak ramai yang mengenali penulis lirik serta komposer yang mencipta lagu yang dinyanyikan seseorang artis,” tegasnya.

Habsah memberitahu dia berasa bertanggunghjawab untuk memberi penghargaan kepada pihak yang berdiri di sebalik tabir dalam menjayakan industri muzik tempatan.

Tak senoat rolaiaya juga komposer, tak mustahil ramai juga anak muda yang tidak mengenali saya. Begitu juga dengan komposer-komposer lain yang tidak diambil peduli oleh peminat muzik tempatan,” tegasnya.

Habsah turut menyentuh mengenai kaedah penjurian yang dibuat berdasarkan kualiti lagu dan lirik serta melodi.



“Akhir-akhir ini, kita lihat banyak program yang begitu menekankan populariti artis sedangkan orang yang mencipta dan menggubah lagu tersebut tidak dihargai langsung. Kita hendak menghargai jasa karyawan ini. Kalau tidak siapa lagi? Tiada mereka tiadalah penyanyi.” ujarnya dengan nada kesal.

Mengulas mengenai kualiti lagu yang meraih Anugerah MACP pada pertandingan Juara Kepada Juara (JKJ) ini, Habshah menegaskan dia tidak menyangka golongan muda kini mampu mencipta lagu-lagu berkualiti.

Ini merupakan peningkatan yang ketara dan membayangkan masa depan industri yang lebih gemilang.

“Itulah harapan kita mengadakan JKJ adalah untuk memberi peluang kepada golongan muda mencipta dan menggubah lagu-lagu yang bermutu serta berkualiti tinggi,” tuturnya.

Habsah juga menaruh harapan industri muzik tempatan menjadi lebih berkualiti dan mampu bertahan lebih lama di masa hadapan.

Anugerah tersebut dinilai berdasarkan keputusan pengagihan royalti dan penilaian terhadap 1,500 lagu yang diterbit serta direkodkan antara 1 Januari 2007 hingga 28 Februari 2008.

Habshah turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada RTM kerana menjadi satu-satunya stesen televisyen yang memberi ruang kepada badan yang diwakili lebih 2,000 ahli itu .

Anugerah MACP 2008 diserikan dengan persembahan hebat artis seperti Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Meet Uncle Hussin dan ramai lagi.


Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
hiburan@kosmo.com.my
myinteam
myinteam
Admin

Posts : 200
Join date : 2007-12-16
Age : 37
Location : Darul Digital Kota Bharu

http://myinteamnet.blogspot.com/

Back to top Go down

:: BERITA@MYINTEAM.NET :: MACP Julang Artis Bermutu Empty :: BERITA@MYINTEAM.NET :: MACP Julang Artis Bermutu

Post  myinteam 2008-04-28, 10:11

myinteam
myinteam
Admin

Posts : 200
Join date : 2007-12-16
Age : 37
Location : Darul Digital Kota Bharu

http://myinteamnet.blogspot.com/

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum