MYINTEAM.NET
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Evolusi Nasyid

Go down

Evolusi Nasyid Empty Evolusi Nasyid

Post  myinteam 2008-07-13, 05:23

PERSEPSI dan penerimaan masyarakat terhadap irama nasyid sudah jauh berubah. Muzik dan artis nasyid kini mampu bersaing dengan lagu dan artis popular lain yang membesar dalam arus perdana.

Kita seharusnya berbangga apabila lagu nasyid yang dulunya berada di luar muzik arus perdana tetapi kini berkembang seiring dengan genre muzik terkenal seperti pop, balada dan rock.

Genre muzik nasyid kini tidak lagi tersisih daripada kelompok muzik semasa selepas tercetusnya evolusi yang dimulakan oleh kumpulan Raihan lebih tujuh tahun lalu. Sebelum itu, tarikan muzik nasyid dilihat hanya bertumpu kepada sekelompok kecil masyarakat yang mahukan hiburan alternatif.

Nasyid juga lebih menjurus kepada aspek keagamaan. Bagaimanapun, pembaharuan yang dibawa artis nasyid kontemporari yang menyuntik elemen muzik pop seperti dipelopori kumpulan In-Team dan UNIC serta elemen R&B diketengahkan kumpulan Nowseeheart dan Mirwana mencetuskan evolusi dalam irama itu.

Pembabitan komposer yang sinonim dengan genre muzik pop dalam penerbitan album nasyid seperti KRU untuk album Rabbani dan Along (Exists) untuk UNIC menjadi pemangkin kepada pembaharuan dalam evolusi muzik nasyid.

Ketrampilan artis nasyid turut berubah dengan pembawaan imej yang lebih santai dan tidak lagi stereotaip. Namun, mesej yang terkandung dalam muzik nasyid tetap tidak berubah. Paksi utamanya ialah mengajak pendengar berfikir ke arah kebaikan dan berteraskan nilai kehidupan Islam yang mulia.

Sempena Ramadan dan Syawal yang bakal menjengah, Nova Music mengambil inisiatif memasarkan album kompilasi Nasyid Terhebat!. Album ini menghimpunkan 16 lagu nasyid terhebat daripada 16 artis nasyid popular di negara ini.

Mula berada di pasaran pada 21 Oktober lalu, kompilasi ini dijangka mempunyai potensi besar untuk mencatatkan jualan yang baik.

“Ini kerana lagu nasyid yang dihimpunkan dalam album kompilasi ini amat baik dan cukup popular daripada barisan artis nasyid ternama. Tidak keterlaluan jika dinyatakan album Nasyid Terhebat! adalah album kompilasi lagu nasyid terhebat pernah dihasilkan,” kata Eksekutif Promosi Kanan Nova Music, Rouslan Mokhtar.

Katanya, album Nasyid Terhebat! memuatkan lagu Kasih Kekasih daripada In-Team yang menjuarai Carta Era selama enam minggu dan juga carta juara antara stesen RTM.

“Lagu ini walaupun bertemakan cinta sesama insan adalah cinta yang berteraskan adab budaya dan agama. Inilah yang dituntut oleh agama dan budaya supaya percintaan khususnya di kalangan remaja menjadi suci dan murni,” katanya.

Selain itu, lagu Hanya Tuhan Yang Tahu daripada kumpulan UNIC yang juga mencapai kejayaan besar apabila menjuarai carta Era selama dua minggu dan merangkul kejuaraan carta antara stesen RTM.

Lagu lain yang ditampilkan dan turut menjuarai carta Era ialah lagu Pergi Tak Kembali nyanyian kumpulan Rabbani.

“Kehadiran kumpulan popular Raihan turut memperkuatkan kompilasi ini dengan lagu Bismillah. Kewibawaan mereka tidak perlu diperkatakan lagi. Kami yakin Bismillah adalah antara keistimewaan kepada pemilik album ini,” katanya.

Sedikit kelainan mungkin dapat dikesan pada lagu Iman nyanyian kumpulan Solehah. Lagu yang memberi penekanan kepada keimanan mempunyai sedikit sentuhan elemen muzik dangdut untuk memberi kesegaran kepada pendengar.

Kompilasi Nasyid Terhebat! turut memuatkan lagu nasyid malar hijau iaitu Junjungan Mulia dan Kesedaran masing-masing daripada kumpulan Al-Mizan dan Hidayah. Al-Mizan dan Hidayah adalah antara kumpulan nasyid yang popular pada akhir 70-an dan awal 80-an dulu. “Penampilan kedua-dua kumpulan tersebut dalam album ini sudah pastinya akan membangkitkan nostalgia buat peminat muzik nasyid pada era berkenaan,” katanya.

Sesuatu yang pasti, kata Rouslan, kompilasi Nasyid Terhebat! bukan album bermusim yang hanya relevan dihayati pada bulan tertentu semata-mata. Sebaliknya, pengisian album ini dapat dimanfaatkan pada bila-bila masa kerana mesejnya yang meluas dan memperincikan kehidupan bercirikan Islam. (www.bharian.com.my)
myinteam
myinteam
Admin

Posts : 200
Join date : 2007-12-16
Age : 37
Location : Darul Digital Kota Bharu

http://myinteamnet.blogspot.com/

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum